KISAH Saidina Umar yang berdepan dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira sebagai satu penghinaan kepadanya amat diketahui umum. Namun sebelum itu, dikisahkan bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau Makhzum, bernama Nu'aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah memeluk Islam itu.
Dalam sesetengah riwayat yang lain, dikatakan Nu'aym sebenarnya
terdiri dari kalangan kafir Quraisy, bukan yang telah memeluk Islam
seperti yang disebutkan sebelum ini. Maka Nu'aym bertujuan menyindir Umar mengenai Fatimah yang memeluk
Islam ketika Umar tergesa-gesa dan beria-ia hendak membunuh Nabi
Muhammad. Apapun niat sebenar Nu'aym itu, menyebabkan Umar mengamuk
setiba di rumah adiknya itu.
Umum mengetahui bahawa Fatimah dan suaminya Saad adalah kalangan yang
terawal memeluk Islam malah dikatakan kekuatan iman suaminya itu antara
10 orang yang dijamin memasuki syurga. Ketika Umar sampai ke rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang
sedang membaca al-Quran. Iaitu Fatimah dan suaminya sedang belajar
membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang sahabat mereka, Khabbab bin
Arat.

