Pages - Menu

2.9.11

Andai Kutahu Ini Ramadan Terakhir

Dari sudut kamar jeriji besi, sepasang mata melontar pandangan jauh ke luar, tangan memegang erat lapisan besi yang memacak kukuh.  Hati terasa tenang dan damai, penantian lama akan berakhir tak lama lagi. Matanya mula berkaca, mengenangkan Fatin dan Sarah dua orang anak kembar kesayangan yang ditinggalkan sejak mereka berusia 6 tahun. Bekas isterinya pula hilang tidak tahu perkhabaran, mungkin sudah bernikah dengan lelaki lain.

"Macam mana sekarang kehidupan mereka....?" Terdetik sendirian, air mata tidak putus mengalir.

"Semua ini salah aku...! Tak mampu jadi suami dan bapa yang bertanggungjawab...!" Tak puas membentak, sesalan yang tidak membawa apa-apa erti lagi.

“Jika engkau melakukan dosa dan bukan merupakan kebiasaan, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, kerana apabila seorang hamba mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan mengampuni dosanya.” (HR. Bukhari, Muslim dan Ahmad).

"Tapi aku sudah berubah...aku tidak mahu mengulanginya lagi." Sambil berteleku kaku dia terus memandang jauh ke luar.

Wajah Syam, rakan yang menjeratnya ke lembah yang hina mula bermain-main, hendak saja ditumbuk dan dilanyak habis-habisan. Syam mempergunakan Zul demi kepentingan diri, mengaut segala kuntungan dengan mengorbankan sahabat. Penyesalan yang lambat, tidak terlintas padanya untuk mengalami nasib sekarang. Syam sebenarnya yang menjadi dalang terlepas dari tuduhan rasuah dan pecah amanah, tetapi Zul pula yang disabitkan bersalah selepas menyeleweng beberapa akuan syarikat hartanah yang menjadi sumber rezekinya dahulu.

"Zul...sejak setahun ni ibu perasaan perubahan kamu ni..." Mak Aisyah memandang wajah anak tunggalnya dalam-dalam.

"Perubahan apa lagi ibu...?" Zul membentak cepat kata-kata ibunya.

"Zul dah besar, dah ada anak bini. Zul tahu apa yang Zul buat...!"

“Zul rimas! Rimas dengan soalan yang bukan-bukan tu…”

"Ibu bukan kenal kamu sehari dua, ibu dah besarkan kamu sendirian sejak abah meninggal dunia ketika kamu kecil lagi..." Mak Aisyah mula menahan sebak dengan herdikan Zul, perlahan air mata bercucuran.

Zul membiarkan leteran mak Aisyah, acap kali pulang ke kampung itu hadiah sambutan kepulangan. Tetapi naluri ibu tidak senang melihat perubahan anak yang semakin liar dengan kawan-kawan. Keluarganya lintang pukang akibat “kerja hitam” yang memaksa dirinya tidak pulang berminggu-minggu ke rumah tanpa khabaran.

Kejahatan tidak selamanya berpanjangan. Akhirnya Zul tertangkap di sebuah pulau peranginan bersama seorang wanita asing. Percutian itu dirancang selepas memperoleh "untung besar" hasil kerja haramnya membawa padah apabila bilik penginapan diserbu pihak berkuasa.

"Panggg...paaangg...!" Cota hitam dilibas pada beberapa batang besi sel.

"Woi Zul...apa yang kau menung lagi...!" Sergah warden bertugas menghulurkan sebungkus kurma juadah ringan berbuka puasa.

"Sudah-sudah la tu Zul, tak lama lagi kau dah nak keluar, sempat lagi berpuasa dengan anak bini..." Warden bermisai tebal itu berlalu pergi tanpa menoleh lagi.

Zul sekadar tunduk, fikirannya masih bercerita kisah silam lalu. Hari makin ke penghujung hidup di penjara, rindunya pada ibu tak terkata lagi. Ingin benar dia sujud memohon ampun semahu-mahunya nanti.

"Apakah aku masih sempat untuk semua tu..."

"Andai kutahu ini ramadhan terakhir..." Zul tertanya sendirian. Tiada makna ramadhan tahun ini baginya selagi belum terungkap kata-kata maaf kepada seorang ibu.

Beberapa minggu lepas, Zairul kawan sekampung datang menjenguk memberi khabar bahawa Mak Aisyah sedang menderita penyakit kanser hati. Berita itu sangat meresahkan. Zul terus berharap masih berpeluang menatap wajah si ibu yang sudah sekelian kali dimaki hamunnya dahulu. Tak putus-putus dia memanjat doa moga Allah membuka ruang taubat kepada anak derhaka yang berdosa.

Tag: kakzakie,Khaulah Azwar

3 comments:

  1. best cerita. baru nak sebak, dah habis!

    ReplyDelete
  2. Salam Aidilfitri..
    jalan cerita yg ringkas tapi menarik..Gud Luck sheikh =)
    moga kita bertemu lagi di Ramadhan akan datang

    ReplyDelete
  3. alamak...
    np pendek sgt..
    nk tahu pe jd die kuar pnjara...
    smpat tak jmpe mak die???
    =D

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...