Pages - Menu

3.3.10

Tazkirah: Kaum-kaum Yang Dibinasakan



Kaum-Kaum yang telah dibinasakan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Qaff ayat 12-14: "Sebelum mereka, kaum Nuh, penduduk Rass, dan Thamud telah mendustakan (rasul-rasul). Dan (demikian juga) kaum A'ad, kaum Firaun dan kaum Luth, dan (juga) penduduk Aikah serta kaum Tubba'. Semuanya telah mendustakan rasul-rasul, maka berlakulah ancaman-Ku (atas mereka)."

Kaum Nabi Nuh..
Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama lebih 950 tahun, namun yang beriman hanya sekitar 80 orang. Kaumnya telah mendustakan dan memperolokkan baginda. Allah datangkan banjir besarmenenggelamkan mereka yang engkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh sendiri.

Kaum Nabi Hud..
Nabi Hud a.s diutus kepada kaum A'ad. Mereka telah mendustakan kenabian Hud. Allah datangkan angin taufan yang dasyat dan ribut kencang disertai bunyi gemuruh yang menggerunkan hingga binasa seluruh kaum A'ad.

Kaum Tsamud..
Nabi Saleh a.s nabi dan rasul diutus kepada kaum Thamud. Baginda telah diberikan mukjizat iaitu seekor unta betina yang keluar dari celah batu, bagi menunjukkan kebesaran Allah s.w.t kepada kaumnya. Malangnya kaum Thamud terus engkar, malah mereka membunuh unta betina tersebut. Azab yang amat dasyat menimpa, iaitu dengan satu tempikan daripada Malaikat Jibril yang menyebabkan tubuh mereka hancur berkecai.

Kaum Sadum..
Terkenal dengan amalan keji iaitu perbuatan homoseksual. Nasihat dan dakwah Nabi Lut yang diutus kepada mereka tidak diendahkan, malah mereka cuba menggoda 2 malaikat yang menyamar sebagai manusia yang menjadi tetamu Nabi Lut. Dengan bermula suatu getaran, kemudian gempa bumi yang kuat dan disertai angin yang kencang dan hujan batu sijjil, menghancurkan serta-merta kota Sadum beserta semua penghuninya.

Kaum Madyan..
Nabi Syuaib diutus kepada kaum Madyan. Mereka menyembah "Aikah", iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Kemungkaran kaum Madyan dan tipu-menipu merupakan perbuatan dan perilaku yang lumrah dan rutin. Para pedagang dan petani selalu menjadi korban, sehingga yang kaya makin kaya, dan yang lemah semakin melarat hidupnya. Nabi Syuaib berusaha menyeru kaumnya, namun mereka engkar. Allah menurunkan
ke atas mereka hawa udara yang sangat panas hingga dahaga yang amat dan kepanasan membakar kulit. Kemudian muncul gumpalan awan hitam yang tebal dijatuhkan ke atas mereka diiringi petir dan gemuruh ledakan yang dasyat, sementara bumi bergoyang dengan kuatnya menjadikan mereka mati bertimbunan.

Firaun dan Bani Israil..
Kaum Bani Israil sering ditindas, maka Nabi Musa dan dibantu oleh Nabi Harun diutus untuk memimpin dan membebaskan mereka daripada kekejaman Firaun. Firaun bukan sahaja kufur dan angkuh, malah mengaku dirinya Tuhan. Nabi Musa bersama orang beriman diarahkan Allah melarikan diri, merentasi Laut Merah yang terbelah, Firaun dan tenteranya yang mengejar mereka ditenggelamkan oleh laut yang bertingkup.

Ashabus Sabtu..
Segolongan dari kaum Bani Israil yang fasik di kota Eliah. Mereka telah melanggar larangan Allah s.w.t. supaya tidak menangkap ikan hari Sabtu, kerana ia khusus untuk beribadat. Allah telah menguji mereka dengan mendatangkan ikan yang banyak pada hari tersebut, lantas tanpa menghiraukan larangan Allah, mereka telah melakukan helah untuk menangkap ikan-ikan tersebut. Lalu Allah telah melaknat mereka menjadi kera yang hina.

Ashabul Rass..
Rass adalah nama bagi telaga yang kering airnya, dinamakan kepada suatu kaum iaitu kaum Rass. Mereka adalah penduduk salah sebuah kampung yang terletak di daerah Thamud. Diutus seorang Nabi yang bernama Hanzalah bin Sofuan namun mereka mendustakannya, malah hingga membunuhnya dan dicampak ke dalam telaga. Allah s.w.t. telah binasakan penduduk kampung ini dengan dengan kemarau yang dasyat, sehingga kaum ini lenyap dari muka bumi.

Kaum Tubba'
Tubba' adalah seorang yang berbangsa Himyar. Dia merupakan salah seorang Raja Himyar yang beriman tetapi kaumnya tetap kafir sehingga melampaui batas, maka Allah s.w.t. binasakan mereka. Selepas peristiwa itu, lafaz Tubba' menjadi gelaran kepada raja-raja Yaman.


3 comments:

  1. Gambar di atas menakutkan. Namun, firman2 di atas lagi menggerunkan. Azab yg sungguh dahsyat!

    ReplyDelete
  2. Salam,mmg mengesankan gambar tersebut dan ayat-ayat cinta (ayat alQur'an)Tersebut bagi yang mahu berfikir.

    ReplyDelete
  3. salam sahabat,

    umat Nabi Muhammad sepatutnya bersyukur, Allah tidak balakan kita umapama umat dahulu di atas doa dan kasih nabi pada umatnya.

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...