Pages - Menu

4.12.13

Kisah dan Falsafah Si Pemilik Kapcai Honda Bulat!


 gambar hiasan
tempat: Pekan Cina, Alor Star


kapcai Honda bulat. Falsafah si pemakai biasanya "orang lama". Motor klasik yang mencecah puluhan tahun masih utuh dibawa, ke kebun, ke bandar, ke masjid, ke kenduri kendara...itulah gelagat warga lama yang sentiasa akrab dengan kapcai honda bulatnya. Kapcai ini menaburkan bakti menyara keluarga, mendidik anak, menjadi teman ke mana sahaja. Dengan kain pelikat, kain sarung dibelit di kepala...berbalut pagoda di tubuh cukup menjadi syarat pemanduannya. Sesekali bunyi hon dipetik, menyapa tetangga di persimpangan...



Pemiliknya juga tak perlu teori-teori pendidikan setebal "kamus dewan", tak perlu diploma, ijazah, master dan PhD untuk mentarbiah anak mengenal dunia...mengenal yang mana haram dan yang mana halal. Pemiliknya hanya tahu...biar anak ke sekolah mendapat pendidikan...bagi anak-anak pandai tulis dan baca..tambah dan tolak...itu semua dek kerana tidak mahu lagi melihat darah dagingnya mewarisi kesusahan lalu.

Dengan kapcai ini, membesarkan sekian bilangan pewarisnya yang berjaya...kapcai ini tidak pernah menjengah pintu univerisiti, tidak tahu di mana kolej dan fakulti. Walaupun begitu, pemiliknya sentiasa menanti lahirnya suatu masa nanti manusia berbudi pekerti. Bukan tinggi diri dan sombong hanyut dalam duniawi. Generasi kini berkereta besar, berumah bak istana masih gagal mendidik anak apa erti sembahyang lima waktu mengabdirikan diri....terus mengejar projek itu dan ini. Pemilik kapcai buruk jauh lebih gemilang, mereka jauh lebih mengerti...


Kadang-kadang kapcai ini meragam di tengah perjuangan, bertompok karat menghiasi badan. Tidak putus meradung cabaran yang mendatang. Generasi sekarang kian senang, punya harta dan wang. Tapi belum tentu punya semangat dan cekal berdiri segagah pemiliknya kapcai Honda bulat yang utuh puluhan tahun dengan pendirian dan azam.

1 comment:

  1. Kenderaan lama memang tahan lama. Saya dah lama bercita2 nak memiliki Volkswagen Beetle, tapi hingga kini belum tercapai...

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...