Pages - Menu

24.5.10

Mari Mengenali Masjid Madinah(Nabawi) Munawwarah-Siri 1

Masjid Nabawi merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w setelah penghijrahan baginda berserta para sahabat dan pengikut setia ke Madinah. Masjid tersebut dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah bersamaan September 622 Masihi. Pada masa Nabi s.a.w dan Khulafa ar-Rasyidin, masjid itu berfungsi sebagai tempat beribadah (solat), menuntut ilmu dan musyawarah bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan.

Kini masjid tersebut berdiri megah, dengan lebih daripada 230 tiang setinggi 5 meter dan memiliki 10 buah menara, enam di antaranya setinggi 99 meter. Dengan berkembangnya Islam di dunia, Masjid Nabawi mengharumkan kota Madinah al-Munawwarah (kota penerang dunia dengan ajaran Islam). Hingga kini, jemaah haji sering berziarah ke makam Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di dalam kompleks masjid tersebut.

Selain itu, terdapat makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Pada bahagian lain, terdapat taman (raudah), di antara bekas rumah Nabi s.a.w dengan mimbar yang ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih. Di tempat inilah jemaah haji dan umrah melakukan solat, wajib atau sunat, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Di antara bilikku dengan mimbarku terletak sebuah taman di antara taman-taman syurga.” (Anas bin Malik)

Masjid Nabawi memiliki keutamaan dan keistimewaan tersendiri berbanding masjid-masjid lain. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Solat di masjidku lebih utama daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain.” (Riwayat Ahmad)

Pada awalnya, Masjid Nabawi hanya berukuran 70 x 60 hasta (1 hasta bersamaan lebih kurang 61 cm). Lalu Nabi s.a.w memperluaskan masjid itu ke sebelah timur, barat dan utara sehingga menjadi 2,475 meter persegi. Saidina Umar al-Khattab (581-644 M) memperluaskan lagi masjid tersebut menjadi 140 x 120 hasta dan menambah tiga pintu; dua pintu di sebelah utara dan sebuah pintu untuk jemaah wanita di sebelah timur. Saidina Uthman ibni Affan (576-656 M) menggantikan tiang pohon kurma dengan batu, menggantikan atap dan memperluaskan bahagian lantai.

Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), khalifah Bani Umaiyah. Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah, berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m. 1277 M – penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara. Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M). Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi. Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter persegi.

Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar), tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara), tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah ke Madinah.

Kronologi Masjid Nabawi

622 (Masihi) – Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 – Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 – Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 – Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas bahagian lantai.
707 – Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 – Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 – Terbakar.
1256 – Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 – Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 – Terbakar lagi.
1574 - Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 – Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 – Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 – Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 – Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...