Pages - Menu

4.1.12

Cerita Orang Kampung Kita...[Part 9] | Suara Anak Muda!

Kedai kopi Pak Mail tidak putus pengunjung saban tahun sejak dibukanya di awal usia muda dulu. Ketika itu kedai tidak lagi beratap genting, dahulu nipah menjadi teduhan tetamu. Dinding buluh sudah lama digantinya batu bata yang kukuh. Perkampungan nelayan menggamit suasana pemandangan laut yang cantik, sesekali ombak bergelora tinggi mengimbau kenangan mudanya bertarung nyawa di laut.

“Assalamualaikum Pak Mail….” Badek tiba-tiba muncul melenyapkan lamunan Pak Mail.

“Menung panjang tu Pak Mail…fikir apa tu…?” terjah Badek lalu melabuhkan punggung di hadapan Pak Mail.

“Wa’alaikumusalam… tak dak apa lah. Saja tengok ombak. Kadang-kadang surut hingga ke tengah laut. Ada waktu pasang memecah pantai.” Pak Mail perlahan-lahan bertutur, matanya masih mengikut irama ombak yang bermain mencuit usia senjanya.

“Budak orang suruh hantar mengaji kau dok buat kacau bilau…itu lah susah…” tanpa salam Botak serbu masuk ke kedai. Wajahnya merah menyala.

“Apa hal kau ni Botak…? Kena sampuk hantu raya ka?” Pak Mail pelik melihat gelagatnya. Botak mengambil tempat di sisi Badek.

“Mak Siti…teh ‘O’ panas satu….” Laung Botak kepada Mak Siti yang masih memasak sesuatu di dapur.

“Alah…! Pak Mail ni…ketinggalan lah. Ni kes budak universiti buat kacau…dah kena pukul marah pula…” Botak mula membuka cerita yang sudah lama diperamnya.

“Biarkan saja…! Dah kena pukul insaflah budak2 tu nanti…” sambung Botak lagi. Pak Mail diam membisu. Membiarkan sahaja Botak melepaskan amarahnya.

“Masa depan pun belum tentu…nak memberontak pula…” Badek kawan Botak yang setia menyokong apa sahaja.

“Sebut tentang orang muda yang belajar tinggi ni…aku teringat zaman kita nak merdeka dulu…” Pak Mail kembali merenung pantai seperti mencari sesuatu.

“Orang muda yang mengaji tinggi balik dari Mesir dan tak kurang yang mengaji di negara orang putih…mereka balik bawa pembaharuan kepada rakyat Tanah Melayu…” Sesekali angin pantai bertiup membawa ketenteraman kepada mereka.

“Waktu orang kampung susah dengan harga getah sekitar tahun 70’an…orang muda juga turun menuntut hak orang kampung yang miskin. Aku rasa waktu tu ramai kena tangkap budak-budak mengaji universiti ni…sekarang ramai jadi pemimpin negara…” Lembut tutur kata Pak Mail, kelembutan yang penuh berbudi.

“Mungkin kalau bukan orang muda yang mengaji tinggi…kita tidak duduk bersama menghirup udara nyaman pantai…entah aku hidup atau tidak. Orang kampung mungkin terus menjamah ubi kayu rebus…” sambung Pak Mail lagi.

“Tapi ikut sangat darah muda tu…nak memberontak saja!” Botak masih tidak puas hati.

“Kalau bukan suara anak muda yang memberontak…tidak sedar orang kampung tentang kezaliman penjajahan.” Pak Mail menyambut.

3 comments:

  1. ARTIKAL TERBAIK ,ALHAMDULILLAH ,MOGA KAKI AMPU MACAM LEMBU FEEDLOT BUKA MAYA & MINDA ! LAMA SANGAT TIDOR ORANG-ORANG KAKI BODEK MACAM PENYOKONG PARTI PANDI KUTTY ARUS JAHILIAH !

    ReplyDelete
  2. mendalam maksudnya entry ni....tahniah =)

    ReplyDelete
  3. salam, entri yg menarik serta mempnyai maksud yg mendalam..

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...