Pages - Menu

15.6.10

Memartabatkan Bahasa Melayu Hanya Retorik

KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua kaum di negara ini perlu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkasakan bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa ibunda lain seperti Tamil dan Mandarin.

Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan mahu mewajibkan pengajaran bahasa-bahasa ibunda tersebut, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula di sekolah rendah.

"Kita tidak boleh paksa murid-murid belajar bahasa-bahasa tersebut kerana ia agak menyukarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Menurut Abdul Latiff, langkah kerajaan itu sebenarnya merupakan strategi untuk menarik kaum lain menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan.

Namun, jelasnya, untuk mewajibkan pengajaran kedua-dua bahasa tersebut kepada pelajar, ia sedikit menyukarkan kerana secara tidak langsung akan membebankan mereka apabila terpaksa belajar banyak bahasa dalam satu masa.

Katanya, cadangan itu akan lebih berkesan sekiranya kedua-dua bahasa tersebut diwajibkan kepada murid-murid India dan Cina di sekolah kebangsaan manakala pelajar Melayu diberi pilihan belajar Bahasa Arab.

Selain itu, katanya, sekiranya cadangan itu diteruskan, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah terlebih dahulu manakala pilihan pula diberi kepada pelajar sekolah menengah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan menyediakan prasarana yang mencukupi terlebih dahulu.

Katanya, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia memerlukan satu tempoh percubaan untuk menilai kesan dan kelemahan pelaksanaannya.

"Cadangan ini tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan bahasa.

"Kementerian perlu berunding dengan pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahannya," katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, cadangan itu terlalu awal untuk dilaksanakan kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar masih berada di peringkat tidak memuaskan.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula berpendapat, langkah itu tidak akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Langkah ini membolehkan setiap kaum mempelajari bahasa ibunda masing-masing dan ia tidak akan mengganggu proses untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat," katanya.

ADMIN: Kerajaan tak kan dengar nasihat dan pendapat cendiakawan bahasa ni, yang penting mereka untung...PPSMI berjuta2 dah dileburkan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...