Pages - Menu

30.8.13

Kemerdekaan Menurut Islam | Salam Merdeka 56



Salam untuk semua,

Seperti kelaziman, apabila tibanya tanggal 31 Ogos pada setiap tahun, pelbagai acara diadakan bagi memperingati dan meraikan tarikh keramat Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah.

Namun demikian, dalam meraikan sambutan berkenaan, sejauh manakah rata-rata kita sebagai rakyat Malaysia menghayati roh kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar? Adakah pengisian program sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan sejak lebih lima dekad yang lampau benar-benar mampu menzahirkan sebuah kerangka masyarakat yang bukan sahaja negaranya merdeka, bahkan juga merdeka dari pelbagai aspek seperti ekonomi, politik, sosial dan paling utama merdeka dari segi sikap dan tinglahlaku?

Apabila menyentuh mengenai kemerdekaan dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia pastinya berbalik kepada persoalan tunjang yakni sikap dan tingkahlaku yang terlebih dahulu perlu dimerdekakan. Ini kerana, apalah ertinya kita berada dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya sikap dan tingkahlaku kita masih lagi dibelenggu dan dijajah oleh sifat-sifat mazmumah yang pastinya sekali gus boleh merencatkan proses pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang sewajarnya seiring dengan kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Seharusnya, setelah berdekad-dekad lamanya negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, pemikiran dan tingkahlaku kita juga perlulah jauh lebih merdeka dan terkehadapan selari dengan tempoh merdekanya negara daripada cengkaman penjajah. Namun, malangnya didapati pemikiran, sikap dan tingkahlaku segelintir kita pada hari ini masih lagi belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata sebenar yakni berpaksikan acuan sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Buktinya, kita masih lagi terkepung dengan pelbagai masalah sosial seperti perzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya sehingga ia dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara merdeka yang sewajarnya juga bebas daripada permasalahan-permasalahan sosial seumpama ini.

Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Adakah program-program yang dianjurkan semasa sambutan hari kemerdekaan selama ini gagal membentuk perilaku yang positif dalam diri setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda kita pada hari ini yang seharusnya menjadi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara pada masa hadapan?

Jika benar ianya gagal, maka seharusnya transformasi perlu dilakukan agar program-program semasa sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang maksimum kepada rata-rata kita khasnya dalam menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar-benarnya dan tidak terpesong daripada landasan sebagaimana yang telah ditekankan dalam syariat Islam.

Justeru, bagaimana sambutan hari kemerdekaan perlu disambut sewajarnya diperhalusi kembali agar setiap pengisian sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa-masa yang akan datang lebih menepati roh Islam.  Jika selama ini, acara sambutan hari kemerdekaan banyak didominasikan oleh konsert-konsert yang melalaikan sehingga boleh mengundang kepada perlakuan-perlakuan yang tidak sihat dan sumbang, maka ia perlu digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar sifat-sifat mahmudah dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan anggota masyarakat. 

Lebih malang lagi, jika sebaik sahaja tamatnya sesuatu acara sambutan hari kemerdekaan, ia diteruskan pula dengan sambutan secara individu atau berkumpulan terutamanya oleh segelintir muda-mudi yang ternyata masih mentah dalam memahami makna sebenar sebuah kemerdekaan dengan menganjurkan parti-parti liar yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemaksiatan dan pelbagai pengaruh buruk yang lain. Ia pastinya tersasar daripada matlamat sebenar sambutan hari kemerdekaan yakni agar rata-rata rakyat Malaysia menghayati hari bersejarah tersebut dalam konteks pengertian yang sebenar.

Apatah lagi jika program-program yang dianjurkan juga turut menyumbang kepada berlakunya permasalahan lain seperti pencemaran akibat daripada pembuangan sampah sarap seperti pembungkus atau pembalut makanan, tin-tin dan kotak minuman di merata-rata tempat semasa sesuatu konsert sedang berlangsung. Ia sudah tentu akan mencacatkan pemandangan setelah selesainya acara berkenaan dan kos yang besar perlu diperuntukkan  bagi mengupah pihak-pihak tertentu untuk membersihkan semula kawasan-kawasan yang terlibat. Tidakkah ia sedikit sebanyak merugikan negara apabila terpaksa mengeluarkan kos semata-mata untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh diuruskan tanpa sebarang kos jika rata-rata rakyatnya mempunyai sikap dan jiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar.

Mungkin ia akan berlaku sebaliknya jika acara sambutan hari kemerdekaan diisi dengan program-program berbentuk ilmiah dan kerohanian. Umpamanya pelbagai masalah sosial dan pencemaran akan lebih terkawal dan dapat diminimumkan. Ini kerana, ironinya program-program seumpama itu sendiri secara tidak langsung dapat menghindarkan daripada sebarang bentuk kelalaian serta mampu mendidik sikap dan tingkahlaku setiap anggota masyarakat untuk lebih beretika dalam setiap tindak-tanduk sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kita juga dapat difahamkan dengan konsep kemerdekaan yang sebenar dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Sebaliknya ia turut dapat diperluas dan diaplikasikan dalam pelbagai aspek lain dan tidak terkecuali juga dari segi tingkahlaku terhadap alam sekitar. Apabila tingkahlaku yang baik terhadap alam sekitar dapat dibentuk, maka pastilah alam sekitar juga akan selamat dan merdeka daripada sebarang bentuk ancaman kemusnahan. Justeru, sudah tiba masanya setiap pihak melakukan transformasi dalam pemilihan acara sempena sambutan hari kemerdekaan agar erti kemerdekaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya bukan sahaja oleh generasi lama tetapi juga oleh generasi baru.

Mudah-mudahan dengan transformasi yang dilakukan kelak, ia diharap dapat merobah persepsi salah terutamanya dalam kalangan muda-mudi kita berhubung pengertian sebenar kemerdekaan. Mereka seharusnya dicelikkan bahawa kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan negara daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, kemerdekaan dari sudut pemikiran, sikap dan tingkahlaku mereka daripada sebarang bentuk sifat-sifat yang boleh menghakis nilai-nilai murni dan jati diri sebagai seorang Muslim yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.

sumber: IKIM

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...