Pages - Menu

20.5.13

Bersediakah Untuk Tua? | Ziarah Tok Ngah


 (Gambar hiasan)
Lokasi: Jalan Tunku Abdul Rahman, KL


Salam untuk semua, moga Allah rahmati

Hari ni aku dan ayah ziarah rumah Tok Ngah di Gombak Setia. Ayah baru sampai KL awal subuh tadi dari Kedah. Lepas zohor kami ke rumah Tok Ngah, mak menakan (saudara) ayah sebelah Tok Wan. Aku yang duduk KL pun lama dah tak ziarah Tok Ngah. Tok Ngah lelaki kelihatan uzur, umur dah cecah 83 tahun.

Tok Ngah laki yang awal-awal sambut kami di muka pintu rumahnya. Lain benar dulu, Tok Ngah laki dulu cergas, kuat berjalan dan beberapa kali ke Kedah datang rumah aku. Sekarang semakin kurus dan bertongkat untuk bergerak. Tok Ngah perempuan pula berumur sekitar 70 tahun lebih. Masih cergas, ramah berbicara, tak putus kisah2nya yang kadang2 menghiburkan aku yang masih di usia mentah pengalaman dunia.

"Tok Ngah ni tak lama dah. Tunggu masa saja ni.." berseloroh Tok Ngah laki pada aku dan ayah. Mukanya tetap ceria, begitulah wataknya sejak dulu walaupun kesihatan amat terbatas.

"Pak Ngah, semua orang pun tunggu masa. Tak kira tua muda..." ayah aku redakan keresahannya. Aku angguk sahaja mengiyakan.

"Tengok tu, bukan nak pakai baju. Dok tunjuk pula rangka tulang tu..." usik Tok Ngah perempuan kepada Tok Ngah laki yang hanya berkain pelikat menyambut kami. Begitulah mungkin gurauan orang lama.hehe. Masing-masing ketawa.

"Tok Ngah la ni makan bubur ja, itu pun semangkuk kecil. Kalau berjalan, turun ke bawah. Tak naik dah ke atas kalau orang tak bawa naik...tak larat dah. 1 Jun kenduri, kalau tok Ngah umur panjang insyaAllah sampai kami berdua ke Kedah." sambungnya Tok Ngah perempuan lagi. Aku setia mendengar, hati makin sayu. Aku doakan mereka berdua sentiasa di rahmati Allah di dunia dan akhirat.


Ziarah Tok Ngah tadi timbulkan pengajaran untuk aku sebagai orang yang muda. Orang muda lebih tenaganya. Kuat daya ingatannya. Banyak bergeraknya. Berani dan semangat segalanya. Kadang2 cepat juga amarahnya. Suatu hari nanti, jika ditakdir dipanjangkan usia. Aku akan menjejakkan kaki yang sama di usia sebegitu rupa.Bukanlah takut untuk menjadi tua, kerana itu hakikat manusia. Larilah ke dunia mana, tua tetap mengejar sampai bila-bila. Suntiklah bergelen-gelen botok kedutan hilang, usia tetap bertambah.

Soal utama, di usia muda apa persediaan untuk masa di hari tua? Ilmu, Agama, Wang, Harta, atau apa sahaja? Di usia muda, apa yang mampu dibina untuk tinggalan dan warisan yang bermakna dan berharga untuk generasi akan datang?

Muhasabah:-

Dalam SEHARI: Berapa banyak masa kita gunakan untuk agama/perkara yang berfaedah/perkara yang diredhai berbanding perkara yang haram/yang mendatang dosa/yang melalaikan. Jika yang baik itu lebih banyak diamalkan, Alhamdulillah dan tingkatkan. Yang buruk itu berusaha tinggalkannya.

Jadilah orang muda seperti Sayyidina Ali Abi Talib, Usamah, Bilal Rabbah, Zaid bin Tsabit, Talhah, Abu Ubaidah, Khalid Al Walid dan ramai lagi anak-anak muda, para sahabat nabi yang besar jasanya untuk agama.


Renungkan makna pesanan baginda Nabi Rasulullah S.A.W
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnyakecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)


Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:

"Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, TETAPI
Aku lebih cinta ORANG MISKIN yang pemurah

Aku cintakan orang yang merendah diri, TETAPI
Aku lebih cinta ORANG KAYA yang merendah diri

Aku cintakan orang yang bertaubat, TETAPI
Aku lebih cintakan ORANG MUDA yang bertaubat.




#Ayuh Orang Muda, Usia Muda Untuk Agama...!#

3 comments:

  1. berikan hidup kita 100 peratus untuk Allah

    ReplyDelete
  2. semua yg muda akan tua, yg hidup akan mati...seram juga apatah lg jika memikirkan cara kita akan mati.

    ReplyDelete
  3. sebagai seorg ibu.memang cukup terkesan dgn segala coretan di dalam blog ini..semoga penulisnya sentiasa dilimpahi rahmat Allah utk terus melakukan kebaikan,,insyaAllah..

    ReplyDelete

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...