Pages - Menu

20.2.10

Tazkirah: Penyakit Hati, Sombong Bawa Kepada Kekufuran.

Sombong atau bongkak, angkuh dan takabbur adalah sifat yang tercela dalam Islam, sifat yang dibenci oleh Allah Subahanu wataala dan Rasulnya. Kerana itu kita adalah ditegah untuk bersikap sombong dan membangga diri. Ketahuilah bahawanya sifat sombong dan takabbur merupakan sifat yang dimiliki oleh iblis laknatullah.

Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dari Nabi Adam Alaihissalam, sanggup mengingkari perintah Allah Subahanahu Wataala untuk sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam kerana itulah akhirnya ia pun dihalau keluar dari syurga dalam keadaan hina diatas sifatnya yang sombong itu. Ada orang yang sombong kerana menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, ada juga orang yang angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, dan ada juga orang yang membangga diri kerana kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.

Sebenarnya tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya dapat bersenang lenang dengan kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu ditarik balik, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.

Sifat sombong atau takabbur terbahagi kepada tiga bahagian:-

Pertama: Takabbur kepada Allah Subahanau Wataala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subanahu Wataala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

Firman Allah Subanahu Wataala dalam Surah Al-Mukmin ayat 60 Tafsirnya: Dan Tuhan kamu berfirman:” berdoalah kamu kepada-ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

Kedua: Takabbur kepada Rasul: Inilah diantara sikap yang dimiliki orang kafir Quraisy yang menentang Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan ajaran agama Islam. Mereka menganggap bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri. .. ..

Ketiga: Takabbur atau sombong terhadap sesama manusia: Iaitu apabila memandang diri lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya dari orang lain. Biasanya sikap orang sebegini boleh dilihat dari penampilan atau gaya dirinya yang suka menunjuk-nunjuk atau cara percakapan yang suka memuji diri sendiri, suka kepada pujian dan dihormati serta tidak suka jika dirinya dibanding-bandingkan dengan orang lain, Sesungguhnya sifat sombong atau takabbur dapat mencerminkan peribadi yang kurang elok. .. ..

Untuk menghindarkan sifat sombong, kita harus menjaga tutur kata dan perilaku kita supaya sentiasa dalam keadaan baik. Kita bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang tidak pernah berlaku sombong. Baginda dengan Ikhlas menziarahi sahabat baginda yang ditimpa sakit atau kesusahan, mebantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput bahkan baginda sendiri pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan khandak.

Takutlah kita dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk sebagaimana Firman Allah Subahanahu Wataala dalam Surah An-nahli ayat 29 : Tafsirnya: Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur.

Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur. ( Surah An-nahli: 22-23 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak dan menghina orang lain.” – (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...