Pages - Menu

28.6.10

Tazkirah: Kesederhanaan Tanda Syukur Pada-Nya

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

DALAM menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad dan juga sahabat Baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah.

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan Baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal Baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada Baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud)


Suasana sekarang, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Namun kemelut ini boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Iaitu berjimat cermat, dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah. Dengan itu, ia dapat mengelak kemurkaan Allah dan sebaliknya memperoleh tambahan nikmat-Nya yang menjanjikan kesejahteraan sejati. Perhatian saja firman Allah berikut yang mafhumnya:
“Sesungguhnya jika mereka lurus di atas perjalanan (Islam), Nescaya Kami curahkan kepada mereka air yang lebat. Untuk Kami menguji mereka padanya. Barang siapa berpaling diri dari peringatan Tuhannya (Al-Quran) nescaya Kami masukkan dia ke dalam seksaan yang berat.” (Surah al-Jin: 16-17)
‘Curahan air yang lebat’ itu bermaksud rezeki yang banyak, yang melengkapi segala keperluan hidup manusia.
Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan sebagaimana keterangan daripada ayat yang bermaksud:
“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Israk: 26 – 27)
Orang boros sebenarnya tidak tahu untuk merancang, tidak ada wawasan, tidak gerun dengan masa depannya yang bakal hadir nanti terbiar begitu saja. Akhirnya ditimpa penyakit miskin dan muflis, sebagai modal untuk menjadi orang yang suka berhutang, meminta-minta dan pada pandangan masyarakat pula jelas menjadi hina dan tidak dihormati. Ekoran itu, akan jadi orang yang dibelenggu seribu masalah dan jiwa pun tidak mungkin disentuh ketenangan lagi!
Meskipun digalakkan supaya berhemah, namun janganlah pula sampai ke tahap sifat kikir atau kedekut. Sebagaimana termaktub dalam ayat yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu…” (al-Israk:29)
Ayat di atas membawa maksud janganlah menahan tangan daripada berbelanja serta memberi nafkah untuk tujuan kebaikan yang mana diumpamakan tangan yang tidak dapat bergerak kerana terbelenggu di leher. Ini adalah kiasan kepada sifat bakhil (Buku Ayat-ayat Hukum: Abdul Latif Muda)
Kita perlu ingat dengan larangan Rasulullah terhadap orang kedekut ini sebagaimana maksud hadis:
“… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.” (HR Muslim)
Gambaran hadis di atas begitu jelas sekali, kerana kikir menyebabkan timbulnya golongan miskin disisihkan oleh golongan yang berada. Terbinalah jurang antara kedua golongan tadi (yang tidak seharusnya wujud dalam sebuah masyarakat). Perasaan dengki, marah, tak puas hati di kalangan orang tidak bernasib baik terhadap orang yang berharta boleh mencetuskan api perbalahan.
Di samping itu, orang yang berharta menjadi semakin sombong dan tamak. Sepanjang masa terisi dengan aktiviti menimbun harta. Cinta kepada harta bertambah menebal dari sehari ke sehari. Lalu tidak mustahil, mereka ini menjadi orang yang enggan mengeluarkan zakat. Namun sesungguhnya orang yang beriman tidak pernah pengidap penyakit kedekut sebagaimana sabda Rasulullah,
“Tidak boleh berkumpul antara iman dan kikir di dalam hati orang yang beriman selama-lamanya” [HR Ibn Adiy]
Menyedari betapa buruknya akibat boros dan kedekut, maka orang Islam hendaklah berada di tengah-tengahnya iaitu bersederhana sebagaimana disuruh oleh syarak, Allah berfirman:
“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)” [Surah al-Furqan: 67]

2 comments:

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...