Pages - Menu

19.12.10

Timbalan Pengarah Imigresen Dipenjara Kerana Rasuah

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar, 56, hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM620,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau didapati bersalah terhadap 14 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 pada 2008.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh. Pada 14 Okt 2008, Yusof didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

Semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum menurut Seksyen 16 Akta yang sama. -malaysiakini-

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...