Pages - Menu

6.12.10

Kerana Cinta Rockers, Wanita Dipukul.

BENGKOK...jari kelengkeng kanan Mas yang tidak boleh diluruskan selepas dipukul.
BENGKOK...jari kelengkeng kanan Mas yang tidak boleh diluruskan selepas dipukul.

KUALA LUMPUR: Disebabkan cinta terlampau terhadap seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal era 90-an, seorang wanita hidup sengsara selepas menjadi mangsa lelaki terbabit selama hampir empat tahun.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 30-an, yang juga seorang penggiat industri hiburan mendakwa dia bukan saja dipukul lelaki berusia 38 tahun itu, malah wangnya habis dikikis sepanjang tempoh mereka bercinta.

Mas mendakwa duda anak tiga itu juga bijak bermain ayat cinta dengan wanita semata-mata mahu mendapatkan wang atau pekerjaan dan bertindak kasar apabila kemahuannya tidak dipenuhi.

“Sebelum ini dia berbaik dengan saya kerana saya banyak membantunya mengadakan persembahan selain menyara hidupnya. Saya juga banyak menghabiskan duit termasuk pernah menjaminnya dua kali apabila ditahan polis kerana kes dadah dan pecah rumah.

“Walaupun hidup sengsara kerana dipukul sehingga mengalami kecacatan kekal di jari kelengkeng kanan dan wang dikikis sepanjang mengenalinya, saya masih setia kerana dia sentiasa memujuk serta meyakinkan saya kononnya mahu berubah. Dia pandai bermain ayat-ayat cinta,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia kini mengesyaki pemain gitar ‘jambu’ dan menjadi kegilaan peminat wanita itu mempunyai hubungan dengan wanita lain yang turut menjadi mangsanya.

“Apabila ditanya, dia menafikan, tetapi perkara itu terbongkar selepas saya dimaki-hamun seorang wanita yang menghubungi saya kononnya mengganggu kekasihnya,” katanya.

Mas mendakwa, baru-baru ini, pemain gitar kumpulan yang lagunya masih diminati sehingga kini melarikan semua barang miliknya yang ditempatkan di rumah sewanya di Bukit Jalil, di sini, selepas membenarkan kekasihnya itu menumpang sementara waktu di situ.

“Saya tidak tinggal di rumah sewa itu dan hanya menempatkan semua barang saya sementara menunggu kuarters kediaman saya yang disediakan majikan. Saya benarkan dia tinggal di situ sejak dua bulan lalu selepas dia dihalau keluar pemilik rumah sewanya di Damansara kerana gagal membayar sewa, manakala saya tinggal di rumah rakan.

“Selepas saya memperoleh kuarters baru-baru ini, dia menghubungi saya menawarkan diri mahu membantu memindahkan barang, tetapi barangan rumah seperti set televisyen, sofa, meja makan, almari, peti ais dan mesin basuh tidak sampai kepada saya,” katanya yang dimaklumkan kekasihnya itu kini dipercayai mabuk cinta dengan janda beranak tiga.

Menurutnya, apabila memeriksa rumah sewa itu, semua barangannya hilang manakala lelaki itu berdolak-dalik untuk memulangkannya.

“Saya cuba menghubunginya, tetapi dia berjanji akan memulangkan semua barang itu, namun janji tinggal janji. Saya tidak tahu di mana dia berada sekarang dan tidak tahu sama ada barang saya itu masih ada atau sudah dijual. “Saya sudah berpatah arang dengan sikapnya, disebabkan dia saya hilang wang dan harta benda, malah keluarga memarahi saya kerana tahu latar belakang lelaki itu yang bermasalah,” katanya.

Mas berkata, dia tidak mahu ada kaitan lagi dengan lelaki itu dan meminta barangnya dipulangkan segera.

“Harta boleh dicari, tetapi apa yang dilakukannya terhadap saya tidak dapat dimaafkan,” katanya yang membuat laporan polis malam tadi.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...