Pages - Menu

27.11.10

Suami Tekan Pisau Di Leher Isteri..

CEDERA...Siti menunjukkan kesan luka kecil di leher dan lebam bahagian kepalanya.
 
CEDERA...Siti menunjukkan kesan luka kecil di leher dan lebam bahagian kepalanya.
MELAKA: Luluh hati seorang isteri apabila suami yang diharapkan menjadi pelindungnya tergamak memukul dan mengugut membunuhnya akibat cemburu buta, awal bulan ini.

Dalam kejadian jam 11.35 malam pada 4 November lalu, Siti, 29, mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun menamparnya sejurus mengejutkannya daripada tidur di ruang tamu rumah mereka di Tanjung Keling, dekat sini.

“Suami menampar pipi kiri dan kanan serta memukul kepala saya bertalu-talu sambil bertanya mengapa saya curang. Saya terpinga-pinga dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut. Saya hanya mampu mengalirkan air mata menahan kesakitan.

“Kemudian dia ke dapur sebelum menghampiri saya semula dengan tangan kirinya memegang pisau. Dia mengacukan pisau ke leher saya dan tangan kanannya menarik rambut saya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku pada Ogos 2009 iaitu selepas enam bulan pasangan terbabit bernikah, namun ketika itu mangsa tidak membuat laporan polis.

Siti yang bertubuh kecil molek berkata, suaminya menekan pisau berkenaan agak kuat hingga lehernya luka.

“Dia mengugut membunuh saya jika meneruskan niat untuk bercerai. Dia juga mengugut mencederakan anak saya iaitu anak tirinya berusia tujuh dan lima tahun. Ini kali kedua suami memukul saya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya.

Dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Keling pada 18 November lalu dan laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah (IPD) keesokannya.

Menurut Siti, mulanya dia menyangka perkahwinan keduanya akan bahagia biarpun menjadi isteri kedua.

Ini kerana madunya datang meminang selepas perkenalan singkat dengan suami, sekali gus menguatkan keyakinan itu walaupun ahli keluarganya tidak bersetuju.

“Hanya enam bulan saya bahagia. Kami tidak pernah bergaduh dan suami melayan saya dan anak dengan baik, namun keadaan bertukar apabila isteri pertama tiba-tiba berubah sikap dan memberi bermacam tekanan hingga akhirnya saya diharamkan berkunjung ke rumah mentua.

“Sebelum itu hubungan kami baik dan saling kunjung mengunjung, malah saya sering membawa empat anaknya bermalam di rumah.

“Hubungan saya dengan suami mulai keruh apabila saya mengadu hal itu (berkenaan madu) kepadanya. Saya jadi takut kerana suami mula menunjukkan sikap sebenarnya yang panas baran dan kerap memarahi saya,” katanya.

Siti tidak pasti punca sebenarnya dia dipukul dan mengesyaki ia mungkin disebabkan suaminya terlihat gambarnya dengan seorang lelaki lain yang kebetulan dihantar oleh rakan menerusi ruangan sembang.

“Malam kejadian, selepas balik daripada makan malam di Ayer Molek, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dan anak menonton televisyen hingga terlena manakala suami pula sebelum itu menggunakan komputer riba.

“Saya syak mungkin sebab itu dia marah apabila terlihat gambar saya bersama seorang kenalan lelaki ketika menghadiri satu kursus setahun lalu. Saya tidak pernah memuat turun gambar itu dan menyimpannya di dalam komputer,” katanya.

Disebabkan pelbagai masalah itu, mereka pernah berbincang dan dia meminta cerai, namun suami enggan dan memarahinya.

Dia berkata, mereka juga pernah menghadiri dua sesi kaunseling di Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

“Oleh kerana tiada penyelesaian, kami kini menumpang di rumah keluarga kerana saya bimbang keselamatan diri dan anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah berkata, pihaknya bersama peguam pembela akan mengambil tindakan berhubung permohonan proses perceraian selain bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi perlindungan sementara kepada wanita terbabit.

“Isu keganasan rumah tangga banyak dilaporkan akhir-akhir ini dan pihak kami ada beberapa kes seumpamanya. Peguam kami yang mengendalikan dan kes seperti ini dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Mengenai kes Siti, kami syorkan dia diberi perlindungan di tempat sesuai di rumah ibunya. Daripada segi perundangan, peguam akan uruskan secepat mungkin,” katanya.

myMetro

1 comment:

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...