Pages - Menu

2.11.10

Kedah: Banjir Semakin Teruk






Gambar Di Sekitar Pekan Jitra

PADANG TERAP- Hujan berterusan sejak dua hari telah menenggelamkan banyak penempatan kampung melibatkan dua kawasan iaitu Kuala Nerang dan Pedu sehingga angka penduduk yang dipindahkan meningkat hingga hampir 500 mangsa sejak jam 9 pagi hingga lewat petang, semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Pejabat Daerah Padang Terap berkata, sebanyak 20 pusat penempatan mangsa banjir yang tersenarai dalam Plan Tindakan Kecemasan Daerah Padang Terap telah di buka sejak petang lewat malam semalam dan boleh memuatkan sehingga 1,810 mangsa.

Menurutnya, kebanyakan penduduk bagaimana pun mula berpindah ke pusat penempatan banjir sejak jam 9 pagi dan angka mangsa yang dipindahkan setakat jam 10 pagi semalam melibatkan 300 orang.

Tinjauan Sinar Harian dalam daerah ini mendapati sekurang-kurangnya tujuh jalan utama terpaksa ditutup akibat banjir. Jalan-jalan yang terlibat ialah Kuala Nerang-Padang Sanai, Banggol 9- Padang Sanai, Padang Cenderai-Kampung Baru Chandeng, Jalan Semeliang, Jalan Kubu, Kuala Nerang-Pedu.

Guru, pelajar terkandas jalan ditenggelami air

Berikutan hujan yang tidak berhenti-henti sejak dua hari lepas, difahamkan seramai 50 guru terkandas sejak awal pagi berikutan jalan utama menghubungkan ke sekolah sekitar daerah ini mula dinaiki air sejak awal pagi, semalam.

Jurucakap Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap berkata, lima sekolah dikenalpasti telah terputus hubungan melibatkan satu sekolah menengah, tiga sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah agama bantuan kerajaan.

Menurutnya, guru-guru yang bertugas di sekolah tersebut bagaimana pun akan ditempatkan di sekolah berhampiran manakala sesi pembelajaran berjalan seperti biasa di sekolah tersebut.

Antara sekolah yang terputus hubungan ialah Sekolah Menengah Padang Terap, Sekolah Kebangsaan Padang Terap, Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, SK Kubang Palas dan Sekolah Agama Daril Ilkhtisam

Seorang guru, Rashidi Mahmud berkata, dia yang keluar awal kira-kira sekitar jam 7 pagi bagaimana pun gagal sampai ke sekolah kerana laluan utama telah dinaiki air.

Beliau yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap berkata, dia turut mencari laluan alternatif tetapi gagal kerana semuanya mula dinaiki air

“Walau pun saya cuba sampai ke sekolah tetapi semua jalan sudah tidak dapat dilalui kenderaan. Saya tetap akan meneruskan tugas seperti biasa di sekolah berhampiran iaitu, Sekolah Kebangsaan Dato Syed Ahmad buat sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, dianggarkan lebih 10 pelajar sekolah di Kuala Nerang turut terkandas apabila mereka gagal sampai ke rumah berikutan laluan utama ke rumah mereka telah dinaiki air.

Jurucakap PPD berkata, kesemua mangsa bagaimana pun ditempatkan di PPD sehingga lewat petang semalam sekali gus berusaha untuk menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing berikutan jalan utama ditenggelami banjir.

Kali kedua terburuk sejak 5 tahun

Menceritakan detik cemas banjir yang mula melanda kebanyakan rumah penduduk, Ramlah Abdullah dari Kampung Tanjung, berkata, dia mula menyedari air mula memenuhi ruang rumah kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, dia yang bangun sejak awal kira-kira 4 pagi untuk membuat kuih untuk jualan di kampung bagaimana pun tidak meneruskan niat kerana memandangkan jualan pada hari tersebut tidak dapat dilakukan.

“Ketika saya bangun jam 3 pagi, anak saya hendak bangun membuat beberapa kuih tetapi tidak meneruskan niat kerana sudah menjangka air naik.

“Saya telah berpindah ke pusat pemindahan banjir sejak jam 8 pagi bersama enam beranak. Anak saya yang pertama kali menghadapi situasi banjir bagaimana pun tidak berani pulang ke rumah kerana air semakin naik,” katanya kepada Sinar ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir Kg Tanjung, Padang Terap, semalam.

Penduduk dari Kampung Padang Gelanggang, Zainab Lazim, 49, berkata, rumahnya menjadi tumpuan penduduk dan saudara mara di kawasan berhampiran sejak petang kelmarin.

Menurutnya, banjir yang berlaku kali ini adalah banjir yang terburuk dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2005 keadaan banjir di situ adalah hampir serupa dengan kejadian banjir kali ini.

Sementara itu, lebih 10 kampung iaitu, Padang Sanai, Kampung Mani, Kampung Kuala Janing, Kampung Pokka, Padang Gelanggang, Kampung Tanjung dan banyak lagi telah dinaiki air. Sehingga jam 6 petang, mangsa yang dilaporkan berpindah adalah melibatkan seramai 1,767 orang melibatkan 404 keluarga.

Antara pusat pemindahan banjir yang telah dibuka melibatkan tiga sekolah, dua masjid, enam surau dan sembilan dewan orang ramai.

Jurucakap Bilik Gerakkan Banjir berkata, banjir berpunca daripada hujan lebat sepanjang dua hari tanpa henti manakala air dari dua empangan dalam daerah ini bagaimana pun tidak melepaskan air.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...