Pages - Menu

28.11.10

Kedah Akan Bina Semula Rumah Mangsa Banjir

ALOR SETAR 28 Nov. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bersedia membina kembali rumah mangsa banjir yang rosak teruk di kawasan perumahan Keda bagi membantu mereka mendapatkan tempat tinggal lebih selesa.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai beberapa buah rumah yang dibina di tebing sungai di kawasan Jitra di sini hampir musnah akibat dilanda banjir baru-baru ini.

"Keda sudah mendapat arahan daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membina semula rumah mangsa-mangsa banjir yang musnah dilanda banjir.

"Pihak kami sedang meneliti tapak-tapak di kawasan perumahan Keda yang masih kosong untuk membina semula rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir yang telah dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan banjir kepada lebih 300 penduduk di sekitar Taman Malaysia di sini, kelmarin.


Menurut Ahmad Bashah, pihaknya juga akan memastikan lokasi baru rumah untuk mangsa banjir tersebut berhampiran dengan tapak asal rumah mangsa.

"Kita tidak mahu mereka dapat rumah baru di kawasan Keda tetapi jarak untuk mereka ke tempat kerja jauh. "Kita juga mahu pastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas banjir melanda," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah menyampaikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar kawasan Kota Setar.

"Sekitar 60 hingga 70 peratus kawasan yang dilanda banjir di kawasan Kota Setar telah kita masuk dan beri bantuan kepada mereka.

"Walaupun banjir telah selesai, bantuan daripada Kerajaan Pusat masih ada dan kita akan terus memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...