Pages - Menu

5.11.10

Gambar Menarik Banjir Di Kedah, Alor Setar Semakin Lumpuh



















ALOR SETAR 5 Nov. - Keadaan banjir di Kedah bertambah buruk dengan jumlah mereka yang dipindahkan kini meningkat kepada 39,785 orang dan hampir semua kawasan di bandar raya ini kini dinaiki air.
Sehingga pukul 4 petang ini, kira-kira 80 peratus kawasan di bandar raya Alor Setar telah digenangi air. Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah Kota Setar dan Pendang menunjukkan peningkatan manakala Kubang Pasu masih dengan jumlah yang sama dan daerah Padang Terap serta Pokok Sena menunjukkan penurunan.
Di Kota Setar, jumlah mangsa banjir kini 16,376 orang daripada 4,047 keluarga, di Pendang 244 orang daripada 62 keluarga, di Kubang Pasu 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga, di Padang Terap berkurangan kepada 354 orang daripada 92 keluarga dan daerah Pokok Sena 1,738 orang melibatkan 307 keluarga.
Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga kini 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, lapan di Padang Terap, 34 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.
Beliau berkata keadaan di Padang Terap semakin pulih apabila 303 orang daripada 112 keluarga dibenar pulang ke rumah masing-masing manakala di Pokok Sena 29 orang daripada enam keluarga dibenarkan pulang.
Tinjauan di sekitar bandar raya Alor Setar yang sudah 80 peratus digenangi air mendapati banyak jalan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan berikutan air yang naik secara mendadak.
Beberapa premis penting termasuk bangunan kerajaan, agensi kerajaan dan pusat membeli-belah telah mula dimasuki air menyebabkan kedai-kedai di pusat membeli-belah itu terpaksa menutup operasi lebih awal.
Beberapa kenderaan ringan yang cuba melalui jalan-jalan terbabit tersangkut menyebabkan kenderaan lain terpaksa mencari jalan alternatif. 
Sementara itu, tinjauan di sekitar pekan Jitra di daerah Kubang Pasu mendapati keadaan banjir semakin surut dan ada kawasan yang telah pulih sepenuhnya, namun mangsa masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan terlalu kotor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...