Pages - Menu

12.9.10

Sultan K'tan akan cabar istiadat permasyhuran

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra berkata melalui peguamnya hari ini bahawa baginda akan mencabar pertabalan pemangku raja sebagai sultan yang baru - di tengah-tengah laporan bahawa istiadat permasyhuran itu akan berlangsung esok.

Menurut kenyataan media oleh peguam Rashid Zulkifli - yang menyatakan firma guamannya bertindak bagi pihak Tuanku Ismail Petra - baginda sultan telah memfailkan dua petisyen di Mahkamah Persekutuan.

Rashid berkata, mahkamah telah diminta untuk menentukan tahap kuasa pemangku raja sewaktu baginda sultan tidak berupaya untuk menjalankan tugasnya.

Utusan Malaysia
melaporkan Jumaat lalu dengan memetik sumber bahawa Tengku Muhammad Faris akan dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan yang baru, untuk menggantikan ayahandanya, yang sudah lebih setahun gering.

Rashid juga mengatakan bahawa pemangku raja Tengku Muhammad Faris sedang merancang untuk meminda perlembagaan negeri supaya baginda sultan tidak lagi menjadi pemerintah jika tetap tidak mampu menjalankan tugas, untuk jangka waktu lebih daripada satu tahun.

Menurut Rashid, memandangkan isu tersebut menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan, maka adalah tidak wajar atau sah bagi pemangku raja bertindak mendahuluinya.

Rashid berkata, pihaknya telah mengambil langkah luar biasa untuk menulis kepada pihak media memandangkan wujudnya keperluan mendesak yang ditimbulkan oleh laporan Utusan bagi menyatakan pendirian baginda sultan.

Beliau turut memberi amaran bahawa percubaan untuk meminda perlembagaan negeri boleh menyebabkan pemangku raja berdepan dengan 'dakwaan mencampuri prosiding dan menghina mahkamah."

Menurutnya, sebarang pindaan dan pertabalan, jika diteruskan, akan dicabar kesahihannya oleh baginda sultan.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi memberikan pendapat,nasihat dan kritikan, moga dirahmati-NYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...